Kau dan aku sering bilang, "tidak mengapa, esok masih ada."
Bila aku lupa bertanya khabar ibu dan bapa,
Bila aku alpa melayan layanan dunia.
Bila kau leka menerima habuan dunia,
Bila kau suka tertawa gembira.
Galak gelak kita bersahutan.
Dalam gelek menanti esok yang masih ada.
Kata seerti duka seakan tidak pernah menjadi palang.
Kerana bagi kau dan aku, seerti suka yang sering diterima pulang.
Kau bilang yang mentari esok masih ada,
Gah bersinar menyala terang sentiasa.
Aku bilang kirana bulan paling menawan,
Biasan sinar mentari yang ditawan.
Tidak mengapa, esok masih ada.
Esok masih ada.
Esok masih ada.
Esok masih ada.
Kata-kata magis yang dipegang erat, dalam dipasak ke dalam dada.
Sebab; tidak mengapa, esok masih ada.
Tapi sayang,
Kau dan aku lupa yang esok tidak semestinya akan tiba.
Bila kau tinggal aku seorang menanti esok untuk tiba.
Terjaga aku dalam khabar yang kau sudah tiada.
Hiba.
